Pada 31 Januari 2018, Pihak PTDH dengan kerjasama pasukan bomba Keramat telah mengadakan latukan kebakaran di komplek Pusat Tahfiz Darul Haafizhiin, Datuk Keramat. Aktiviti ini bersama dengan kehadiran beberapa anggota bomba dengan manaiki sebuah trak bomba bagi mempamerkan kelengkapan kerja-kerja mereka dalam aktiviti menyelamat.
Latihan dimulakan dengan deringan loceng kebakaran yang dibunyikan bagi menunjukkan isyarat kecemasan supaya semua pelajar dan kakitangan PTDH bergegas berkumpul di dataran parkir meninggalkan kawasan sekolah. Tempoh masa yang diberikan adalah selama 2 minit untuk mengosongkan premis melalui pintu dan tangga kecemasan. Alhamdulillah, pelajar PTDH dapat melaksanakannya dengan baik.
Seterusnya, wakil dari pihak bomba yang diketuai oleh Encik Suhaimi memberikan sedikit taklimat berkaitan dengan keselamatan dan cara menggunakan alat pemadam api yang diperbuat daripada habuk dan gas Co2. Kemudian, para pelajar dan guru diberi peluang untuk mengguakan alat pemadam api. Aktiviti ini sedikit sebanyak dapat memberikan pengalaman yang menarik pada diri pelajar.
Pelajar juga diberikan peluang untuk menaiki trak bomba dan melihat alat-alat yang digunakan oleh bomba dalam menyelamat. Alhamdulillah, skuad bomba yang hadir kesemuanya dapat memeberikan kerjasama yang baik dengan menjawab soalan-soalan daripada pelajar. Pada jam 12 tengahari, sedikit penghargaan telah diberikan oleh pihak PTDH kepada skuad bomba kerana sudi hadir ke PTDH.
Encik suhaimi bercerita mengenai pengalamannya dalam menangani kebakaran sebuah Pusat Tahfiz di keramat pada september 2017. Katanya, ketika mereka tiba di tempat kejadian, hampir keseluruhan kawasan tingkat atas sedang terbakar dan kebanyakan nyawa tidak dapat diselamatkan.
" Kami dapati api sedang marak dan menyukarkan pasukan penyelamat untuk menyelamatkan mangsa, Hal ini bukan disebabkan daripada kelewatan pasukan bomba hadir ke lokasi tetapi kelewatan orang awam dalam menghubungi pihak bomba. Orang awam perlu tahu nombor telefon jabatan bomba terdekat. Dikatakan, jiran di kawasan sekolah tahfiz tersebut melihat api kecil pada jam 5.10 pagi tetapi pihak bomba mendapat panggilan kecemasan pada jam 5.40 pagi." - Encik Suhaimi, pegawai bomba Keramat.
Orang awam perlu mengambil cakna dalam isu keselamatan kawasan sekeliling suapaya dapat menghindarkan dari bahaya yang tidak dijangka.